KUALA LUMPUR: Umno hari ini mengumumkan penutupan rasmi akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan diterima mencapai sasaran dan mencukupi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau berkata tabung yang dilancarkan pada 18 Sept lepas itu bertujuan menerima sumbangan orang ramai menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Umno dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.