KUALA LUMPUR: UMNO hari ini mengumumkan penutupan rasmi akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan diterima mencapai sasaran dan mencukupi.

Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusukim berkata parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau berkata, tabung yang dilancarkan pada 18 September lalu itu bertujuan menerima sumbangan orang ramai menerusi kaedah pendanaan awam bagi membantu bekas Perdana Menteri.

"UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.