Tiga hari lalu atau lebih tepat pada Rabu 11 November, seorang kawan menghantar kepada saya video berita New Straits Times mengenai penjelasan Exco Wanita Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid apabila menjawab pertanyaan pengguna Thread mengenai pelaksanaan tahanan di rumah bagi Najib Razak dan sama ada ahli keluarga dibenarkan tinggal di kediaman di Langgak Duta yang sudah diisytiharkan sebagai penjara.

Yang buat saya kebingungan ialah sejak bila Nurulhidayah menjadi jurucakap Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Penjara, atau jurucakap AG Chamber? Mungkin saya terlepas pandang atau tidak sedar akan pelantikan beliau.

Apa pun, Nurulhidayah menjelaskan bahawa ahli keluarga Najib dan individu lain dikatakan tidak dibenarkan tinggal bersama bekas perdana menteri itu, sepanjang tempoh Najib menjalani baki hukuman penjara. Berita Harian memetik beliau berkata urusan pembelian makanan secara dalam talian juga tidak dibenarkan kerana Najib tidak dibenarkan keluar daripada bangunan.