Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad didakwa pada 23 Mei 2024 atas tuduhan terima rasuah RM350,000 sebagai dorongan bantu sebuah syarikat peroleh tender perkhidmatan RMPNet. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan setiausaha politik bekas menteri dalam negeri hari ini berhujah, pejabat Yayasan Tanah Aku di Publika, lokasi seorang saksi pendakwaan mendakwa menyerahkan wang tunai RM350,000 kepada tertuduh pada Disember 2020, tidak beroperasi ketika itu.

Peguam Yaacob Sam, yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, menyoal Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NXG) Wan Azhar Yusof berhubung pernyataan saksinya.

Wan Azhar sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau menyerahkan RM100,000 dan RM250,000 kepada Sayed pada 4 Dis dan 16 Dis 2020 di pejabat tertuduh di Yayasan Tanah Aku.