DERETAN acara sukan yang berlangsung di Desaru Coast menjadikan destinasi peranginan itu bukan sekadar lokasi untuk bercuti, malah semakin dikenali sebagai antara pilihan bagi penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi.Aksi di padang golf, suasana pertandingan serta pengisian santai bersama keluarga mewarnai Hard Rock Hotel Desaru Coast 2026 Golf Classic yang berlangsung dari 25 hingga 27 September lalu.Kemuncak program pada 26 September menyaksikan peserta beraksi dalam format 18 lubang Two-Ball Scramble di Ocean Course, The Els Club Desaru Coast, sebelum acara diteruskan dengan penyampaian hadiah dan Golf Classic PAR-TEE pada sebelah malam.Padang yang direka legenda golf Ernie Els itu memberikan cabaran tersendiri kepada peserta, manakala program malam di Hard Rock Hotel Desaru Coast melengkapkan pengisian kejohanan berkenaan.Golf Classic turut diselitkan dengan usaha kemasyarakatan menerusi kempen PINKTOBER Hard Rock, apabila RM125 daripada setiap pemain berdaftar disumbangkan kepada Breast Cancer Support Group Johor Bahru.Penganjuran itu melengkapkan kalendar sukan Desaru Coast yang turut merangkumi Desaru Coast Multisport Festival pada Julai lalu.Festival berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 atlet dari 60 negara menerusi IRONMAN 70.3 Desaru Coast, Triatlon 5150, Triatlon Sprint dan IRONKIDS.Desaru Coast bakal kembali menjadi tumpuan peminat golf antarabangsa apabila menjadi tuan rumah World Amateur Golfers Championship (WAGC) World Final 2026 dari 23 hingga 31 Oktober.Kejohanan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 650 pemain golf amatur dan delegasi dari lebih 50 negara, selain pengisian Festival Village yang dirancang menampilkan pasar tempatan, persembahan kebudayaan dan bengkel kreatif.Tarikan sukan di kawasan berkenaan turut disokong The Els Club Desaru Coast yang menawarkan 45 lubang menerusi Ocean Course dan Valley Course, selain resort, pantai serta ruang acara.Pada masa sama, pilihan rekreasi bakal diperluas menerusi pembangunan The Sports Arina di Riverside oleh Arina International Holding Pte Ltd, sebuah pembangunan sukan dan rekreasi bersepadu untuk dewasa dan kanak-kanak. Tarikan utamanya ialah litar karting kompetitif bernilai RM10 juta yang dilengkapi kart bertaraf profesional dan sistem catatan masa.Kerja pembinaan litar tersebut telah bermula, dengan fasa pertama disasarkan siap menjelang akhir tahun ini. Pelan pembangunan turut merangkumi litar dalaman berhawa dingin KF Kiddy Circuit yang popular, khusus untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.Tiga gelanggang pickleball di Riverside pula sudah dibuka pada Julai lalu, manakala tiga lagi gelanggang serta kemudahan padel dirancang dalam fasa seterusnya.Selain sukan, Desaru Coast turut mempunyai tarikan lain termasuk Adventure Waterpark, pantai, pilihan makanan serta acara muzik dan budaya seperti Ombak Festival yang memberi pilihan kepada pengunjung di luar program pertandingan.Dengan kepelbagaian kemudahan berkenaan, acara sukan yang berlangsung di Desaru Coast turut membuka ruang kepada peserta dan keluarga untuk mengisi masa dengan pelbagai aktiviti sepanjang berada di destinasi berkenaan.