Umum mengetahui istilah 3R merujuk kepada isu, kes atau sebarang perbincangan semberono yang dilabel sensitif kerana ia melibatkan perihal 'Religion' (Agama), 'Race' (Kaum), dan 'Royalty' (Raja/Institusi Diraja). Saya menggunakan istilah semberono kerana selalunya wacana di dalam ruang akademik mengenai 3R ini amat berhemah, ilmiah dan terguna pakai untuk mereka yang ahli. Akan tetapi ia berbeza apabila memasuki ruang awam, iaitu apabila 3R tiba di lidah, atau jari-jemari netizen.
Adalah menjadi kebiasaan untuk pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi perhatian berat, dan selalunya memantau secara mendalam sebarang hantaran atau perbincangan mengenai 3R di pelbagai platform media sosial. Tugasan ini tentulah melelahkan dan membuang masa. Malangnya inilah realiti hari ini. Tujuan pemerhatian serius ini agak jelas; ia demi mengekang sebarang provokasi, fitnah, mahupun ucapan berbaur kebencian yang boleh menggugat perpaduan dan ketenteraman awam. Kes-kes 3R lazimnya disiasat di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.





