BUCHAREST: Parlimen Romania menolak pencalonan tokoh liberal pro-Eropah, Siegfried Muresan sebagai Perdana Menteri, sekali gus memanjangkan krisis politik yang didakwa menyemarakkan kebangkitan golongan haluan kanan ekstrem.

Muresan yang juga Ahli Parlimen Eropah hanya memperoleh 182 undi daripada 233 undi yang diperlukan untuk membentuk kerajaannya.

Kegagalan itu meningkatkan kemungkinan Romania mengadakan pilihan raya mengejut bagi menyelesaikan kebuntuan politik yang berlarutan.

Bagaimanapun, Presiden pro-Eropah, Nicusor Dan, memberi amaran pilihan raya baharu tidak semestinya dapat menyelesaikan krisis yang dihadapi negara Eropah Timur itu.

Dan berkata, beliau akan mencalonkan perdana men­teri baharu pada petang Isnin selepas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti-parti yang mempunyai wakil di Parlimen.