Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)PUTRAJAYA: Malaysia dan Mesir akan menumpukan usaha untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serta meneroka bidang baharu ekonomi pada mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang dijadualkan pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu yang dipersetujui oleh menteri luar kedua-dua negara akan menyediakan platform untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang semakin berkembang kepada peluang ekonomi yang lebih luas.

Beliau berkata, perdagangan dua hala meningkat sebanyak 74.7% pada tahun ini, namun pertumbuhan itu bermula daripada asas yang rendah, sekali gus memberikan ruang yang luas untuk pengembangan selanjutnya.