KUALA LUMPUR: Pelakon, Fadhli Masoot mengakui berdepan kebimbangan sebelum menjayakan babak dirinya diliwat tanpa rela oleh Ammar Alfian menerusi filem terbaharu, Orang Perang.

Memainkan watak sebagai Bah Sidap yang merupakan salah seorang Orang Asli yang menjadi tali barut Komunis, Fadhli memaklumkan pada awalnya dia turut mempersoalkan keperluan babak tersebut kerana tidak terkandung dalam skrip asal.

“Babak itu sebenarnya tidak ada dalam skrip awal, sebaliknya dimasukkan ketika proses penggambaran sudah berjalan. Pada mulanya memang saya banyak berfikir dan bertanya, kenapa perlu ada babak ini? Apakah kepentingannya dalam cerita?

“Saya juga terlalu memikirkannya kerana filem ini mahu mengangkat masyarakat Orang Asli, tetapi dalam masa sama kita menunjukkan sisi sebegini. Saya tertanya-tanya, adakah kita seolah-olah memburukkan mereka?” katanya kepada Utusan Malaysia.