TEHERAN: Sebuah kapal tangki diserang pada Khamis ketika belayar melalui Selat Hormuz, kata sebuah agensi maritim Britain.

Kapal itu terkena objek tidak dikenali di laluan perairan strategik berkenaan menyebabkan kebakaran, kata Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).

Kesemua anak kapal dilaporkan selamat, tetapi tahap kerosakan masih belum diketahui, tambah UKMTO.

Agensi itu tidak menyatakan bendera negara mana yang dikibarkan kapal tangki berkenaan atau laluan yang dirancangnya.

Ia juga tidak menjelaskan sama ada kapal itu membawa minyak mentah atau gas asli cecair (LNG).