PETALING JAYA: Harga makanan mencecah RM35 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena penganjuran Formula 1 (F1) dianggap selari dengan kos menghadiri acara antarabangsa itu oleh sebahagian netizen.
Menerusi ruangan komen Facebook Utusan Malaysia, sebahagian pengguna media sosial berpendapat harga makanan di dalam kawasan litar sememangnya berbeza berbanding premis makanan di luar kawasan acara.
Menurut mereka, kos sewaan tapak, penganjuran acara serta kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara antara faktor yang mempengaruhi harga makanan di kawasan terbabit.
Seorang pengguna media sosial, Apeq Kimura berkata, harga makanan dan minuman yang tinggi bukan perkara baharu bagi pengunjung yang pernah menghadiri perlumbaan F1 sebelum ini.








