JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyalah guna wang RM2,783.90 milik pelanggan syarikat pengurup wang dengan menampal kod QR miliknya sendiri di atas kod QR rasmi premis berkenaan, Mac lalu.

Tertuduh, C. Narendran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menjadikan wang berjumlah RM2,783.90 milik seorang pelanggan perempuan berusia 32 tahun sebagai miliknya sendiri di sebuah premis di Jalan Dedap 13, Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 1.17 petang, 9 Mac lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.