PETALING JAYA: Bekas pelakon, Zahida Rafik memaklumkan dia tidak akan Kembali ke bidang lakonan walaupun menyimpan sedikit kerinduan untuk beraksi di hadapan kamera.

Zahida, 51, berkata bidang drama dan perfileman sudah lama ditinggalkan kerana komitmen terhadap keluarga.

“Saya sudah lama meninggalkan bidang seni, namun saya selalu menyokong rakan-rakan yang masih berkecimpung dalam bidang ini.

“Memanglah terasa rindu untuk beraksi depan kamera, tetapi saya tidak mampu atas sebab komitmen terhadap keluarga dan perniagaan,” katanya yang ditemui semasa majlis tahlil Allahyarham Tun Hasmah di musolla Aisya, Titiwangsa, baru-baru ini.

Pelakon filem Mami Jarum itu mengakui pernah menerima pelawaan untuk Kembali ke layar perak namun tawaran itu terpaksa ditolak secara baik.