Tasawuf telah lama berakar dalam masyarakat Muslim di Malaysia. Majlis-majlis maulid dan qasidah serta pelbagai versi wirid dan amalan di samping puluhan gerakan tarekat menjadi bukti sosialnya. Namun, apabila diteliti lebih dalam, kita dapat melihat pola menggusarkan dalam kalangan beberapa kelompok pengamal sisi kerohanian Islam ini.
Pertama, ada sebahagian yang tidak berlatar belakangkan pendidikan agama yang kukuh. Mereka 'menemui' tasawuf setelah memasuki alam pekerjaan. Rujukan mereka lebih banyak bersumberkan media sosial berbanding rujukan ulama muktabar.
Kedua, ada juga sebahagian yang berpendidikan asas dalam agama, tetapi tidak mendalam. Mereka adalah lepasan pusat tahfiz dan madrasah persendirian dan pendedahan mereka terhadap tasawuf terhad kepada anjuran majlis maulid dan qasidah, tanpa kesinambungan dalam pengajian Islam secara lebih mendalam.






