Kuala Lumpur: Ketika orang ramai menunggu makanan yang dipesan tiba di depan pintu, ada pekerja gig yang menghabiskan sebahagian besar masa di jalan raya, berdepan pelbagai cabaran demi memastikan setiap penghantaran berjalan lancar.

Di sebalik kesibukan itu, mereka adalah wira harian yang tidak pernah mengenal penat, terus berkhidmat demi memenuhi keperluan masyarakat yang bergantung pada perkhidmatan penghantaran.

Sempena Hari Roti Sedunia pada 16 Oktober, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) bersama stesen radio Hot FM mengambil inisiatif mengagihkan 10,000 roti kepada pekerja gig menerusi kempen Hot Roti Mendonia Bersama Gardenia.

Pengurus Kanan Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Gardenia Bakeries (KL), Ena Suhaila Abas berkata, kempen itu dilaksanakan sebagai tanda penghargaan terhadap pekerja gig yang gigih menjalankan tugas setiap hari bagi memastikan kelancaran urusan dan keperluan masyarakat.