Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan peruntukan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas ia membelanjakan melebihi peruntukan bagi projek luar bandar tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan tambahan itu diluluskan menerusi pengenalpastian penjimatan daripada perbelanjaan pembangunan kementerian lain.
Perdana Menteri berkata, MOF turut mengarahkan KKDW pada 10 September lalu supaya menggantung pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar bagi mengelak tunggakan bayaran terus meningkat.
"KKDW telah membuat komitmen dan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah asal yang diluluskan menerusi Belanjawan tahunan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.









