Istanbul: Lebih 53 orang terbunuh manakala lebih 200 lagi cedera pada Isnin dalam serangan Houthi yang menyasarkan sebuah pusat latihan keselamatan di Wilayah Shabwa, selatan Yaman, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi platform media sosial Facebook, Kerajaan Wilayah Shabwa memaklumkan bahawa serangan itu menyasarkan kemudahan berkenaan ketika anggota baharu pasukan keselamatan dalaman sedang menjalani latihan.

"Skala tragedi ini tidak memadai ditangani dengan kecaman semata-mata, sebaliknya memerlukan langkah ketenteraan dan keselamatan segera bagi menghalang serangan seumpama ini daripada berulang," tegas pihak berkuasa tempatan itu.

Pihak berkuasa turut menggesa Kerajaan Yaman dan gabungan pimpinan Arab Saudi supaya memperkukuh keupayaan pertahanan wilayah berkenaan.