KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak bakal dikenakan tindakan perundangan atas dakwaan kononnya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram, seorang suri rumah kerugian RM472,000 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita berusia 46 tahun itu telah dihubungi individu tidak dikenali mengaku kononnya pegawai sebuah kementerian pada 5 Ogos lalu.
“Mangsa panik apabila dia didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti penyebaran saham pelaburan, bantuan kerajaan dan peluang pekerjaan.
“Panggilan telefonnya selepas itu pula disambung kepada individu lain kononnya anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang,” katanya di sini hari ini.








