Kuala Terengganu: Takut kerana digertak terbabit dalam kegiatan jenayah, seorang suri rumah di sini, kerugian RM472,000 apabila ditipu sindiket 'phone scam'.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis, kira-kira 10.30 pagi semalam.
Menurutnya, pada 5 Ogos lalu, wanita itu menerima panggilan daripada seorang yang memperkenalkan diri sebagai 'Mohd Farhan Jamil' kononnya daripada Kementerian Komunikasi (KK).
Katanya, individu itu kemudian memaklumkan mangsa terbabit dalam aktiviti penyebaran berhubung saham pelaburan, bantuan kerajaan dan peluang pekerjaan.






