KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah bersama empat anak berusia tiga hingga 10 tahun terpaksa menjadikan kereta sebagai 'rumah' selepas bekalan elektrik dan air di rumah dipotong kerana tidak mampu membayarnya.
Tengku Nur Surfina Tengku Mazman, 34, dari Taman Desa Putra, Manir, di sini, yang bekerja di kedai makan dengan pendapatan RM50 sehari bersama anak, Abdul Haqq Muzafar A Muhsin, 10; Nur Hawa Musfirah, 6; Nur Hazwani Mukrizah dan Nur Hilyaa Madinah, 3, juga terpaksa mandi di stesen minyak.
Berdasarkan semakan, Tengku Nur Surfina gagal menjelaskan bayaran bil elektrik sehingga tertunggak melebihi RM2,000 sejak Mac lalu, selain bil air tertunggak melebihi RM1,800.
Dia juga dikenakan tindakan atas kesalahan mencuri bekalan air kerana melakukan penyambungan paip secara haram tanpa melalui meter kira-kira RM1,278 selepas gagal menjelaskan bayaran bil air sehingga tertunggak melebihi RM650 sebelum itu.










