Sungai Siput: Lapan belas pekebun sawit di Rancangan Tanah Belia Khas (RTBK) Kampung Perlop 1, di sini, berdepan tekanan apabila tanaman kelapa sawit mereka yang dianggarkan berkeluasan keseluruhan kira-kira 81 hektar diancam gajah liar, sejak awal September lalu.

Pekebun, Mastura Yusuf, 65, berkata, kawasan kebunnya seluas 12.1 hektar terjejas selepas lebih 300 pokok sawit yang ditanam musnah, khususnya kerosakan yang membabitkan anak pokok yang baru berusia tiga tahun.

Beliau yang mengusahakan kebun sawit sejak 2002 mengakui ini adalah kerosakan paling teruk dialaminya, susulan serangan berterusan haiwan berkenaan.

Katanya, serangan turut merosakkan infrastruktur lain termasuk bekas simpanan air serta takungan air konkrit di kebun.