KOTA TINGGI – Cubaan sekumpulan individu memecah masuk sebuah rumah di Felda Lok Heng Selatan di sini gagal apabila mereka bertempiaran melarikan diri selepas disergah menerusi mikrofon kamera litar tertutup (CCTV), awal pagi Isnin.Kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu disedari pemilik rumah selepas menerima notifikasi daripada sistem CCTV yang mengesan kehadiran beberapa individu mencurigakan di kawasan kediaman berkenaan.Menerusi hantaran yang tular di Facebook Orang Kota Tinggi, seorang wanita mendakwa rumah bapanya yang tidak berpenghuni ketika kejadian menjadi sasaran kumpulan terbabit.Menurutnya, tindakan pantas menyergah suspek melalui mikrofon CCTV menyebabkan mereka melarikan diri sebelum sempat melakukan sebarang jenayah."Alhamdulillah, kami dapat notifikasi CCTV mengenai kehadiran mereka lebih awal dan sempat menyergah mereka melalui mikrofon CCTV sebelum semua terus bertempiaran lari."Mohon semua, terutama penduduk di kawasan sekitar, sentiasa berhati-hati dan lebih peka dengan keadaan sekeliling," katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis mengesan video tular berhubung kejadian tersebut yang dimuat naik di media sosial kira-kira jam 3 petang Isnin.Menurutnya, polis turut menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik rumah berkenaan."Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh rumah serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan kesalahan.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-883 7222 bagi membantu siasatan.