Paris: Selepas menempuh perjalanan udara lebih 20 jam dari Australia, Anne Boland tiba di Muzium Louvre yang ditutup dan disekat, sebelum menasihati pelancong lain supaya tidak berkunjung ke Paris buat masa ini.

"Duduk di rumah!" kata pesara berusia 73 tahun itu kepada AFP pada Isnin di luar muzium yang paling ramai dikunjungi di dunia itu, susulan kekacauan sepanjang hujung minggu yang melanda beberapa jalan dan dataran paling ikonik di ibu negara Perancis berkenaan.

Dia antara ribuan pelawat yang cuba menyesuaikan rancangan perjalanan di Kota Cahaya itu ketika perarakan, kelewatan lalu lintas dan gas pemedih mata mengganggu industri pelancongan ibu negara itu yang bernilai 14 bilion euro (RM64.16 bilion).