KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan pembangunan yang diumumkan benar-benar diterjemahkan kepada pelaksanaan projek di lapangan, bukan sekadar kelulusan di atas kertas.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata, kelemahan sistem penyampaian menyebabkan projek yang diumumkan dan diluluskan masih belum menunjukkan hasil ketara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan perbelanjaan pembangunan di Sabah.
“Peruntukan ada, diumumkan setiap tahun, tetapi orang di bawah tidak mendapat manfaatnya. Ada yang tidak kena dengan sistem penyampaian kita.
“Jangan hanya umum, lulus semua projek besar. Klinik kesihatan, projek menaik taraf, hari ini baru mahu buat pagar. Politeknik Kota Belud, dua kali pecah tanah, bayang pun belum nampak lagi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.








