SHAH ALAM: Pelakon, Anna Jobling mencuri tumpuan pada malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 apabila membawa pulang tiga trofi, termasuk anugerah utama, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara selebriti pilihan peminat.

Anna turut memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat, manakala drama lakonannya bersama Jazmy Juma, Yes! Captain Zul Aaryan, dinobatkan sebagai Drama Sangat Terhangat.

Malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Selangor, pada Ahad lalu itu menyaksikan beberapa nama popular lain turut meraih pengiktirafan, termasuk penyanyi dan komposer, Hael Husaini, serta pasangan selebriti, Janna Nick dan Dini Schatzmann.