KUALA LUMPUR: Sebanyak 455 sekolah sudah diluluskan untuk melaksanakan projek pembinaan semula bangunan daif kategori Skala 7, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pendekatan bersepadu menerusi tiga kaedah utama bagi menangani isu fasiliti sekolah awam yang uzur di seluruh negara.

Beliau berkata, kaedah itu merangkumi penyelenggaraan tahunan, ubah suai dan naik taraf (USNT) bagi bangunan kategori Skala 6 serta pembinaan gantian bagi bangunan Skala 7.

"Melalui penyelenggaraan tahunan dan pelaksanaan USNT, kerosakan dapat dikenal pasti serta ditangani pada peringkat awal, sekali gus mengelakkan kemerosotan keadaan bangunan sehingga memerlukan intervensi lebih kompleks dan melibatkan kos lebih tinggi," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.