Kuala Lumpur: Bilangan transaksi skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) meningkat 23.9 peratus kepada 173.9 juta transaksi pada separuh pertama tahun ini berbanding 140.4 juta separuh kedua tahun lalu.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, berdasarkan data dipantau Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), nilai transaksi BNPL turut meningkat 22.5 peratus kepada RM14.7 bilion berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama.

"Seiring dengan pertumbuhan penggunaan BNPL, pada 30 Jun tahun ini, bilangan pemegang akaun aktif BNPL turut meningkat sebanyak 22.7 peratus kepada 9.2 juta pengguna, manakala jumlah baki terkumpul pembiayaan BNPL ialah sebanyak RM6.6 bilion.

"Bagaimanapun, jumlah tidak berbayar BNPL adalah masih terkawal iaitu sebanyak RM220.4 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.