KLANG: Pematuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan bekalan daging babi di negeri ini menimbulkan persoalan apabila sebanyak 3,200 ekor babi hidup didakwa dibawa masuk ke negeri ini pada setiap bulan sejak bulan Julai lalu.
Perkara itu menimbulkan pertikaian apabila Sultan Sharafuddin pada Februari dan Mei lalu juga bertitah hanya daging babi sahaja yang dibawa masuk sebagai bekalan bagi memenuhi permintaan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Abdul Rahman Kachil berkata, kira-kira 800 ekor babi hidup dibawa masuk dari Kuching, Sarawak ke Pelabuhan Klang setiap minggu sejak Julai lalu dengan menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis dipercayai menjadi pusat penyembelihan.








