Pakar berkata kekayaan REE perlu dimanfaatkan untuk pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar pulangan segera. (Gambar EPA Images)PETALING JAYA: Potensi nadir bumi (REE) di empat negeri SG4 perlu dibangunkan menerusi kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri dengan tumpuan beralih daripada penjualan bahan mentah kepada penguasaan rantaian nilai hiliran.
Pakar industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nahrul Khair Alang Md Rashid, berkata pelabur lebih bimbang tentang ketidakpastian dasar dan akses kepada sumber berbanding peraturan ketat.
“Nilai tambahnya terletak pada pemprosesan, pemisahan unsur dan sebagainya iaitu pada proses hiliran.
“Bagaimanapun, sekiranya proses huluan (perlombongan) mengambil masa yang panjang, sudah tentu ia memberi kesan kepada proses hiliran. Kedua-dua proses ini perlu bergerak selari,” katanya kepada FMT.






