Melihat senarai calon wanita untuk PRN Melaka saya sebetulnya terkedu. Ia cepat membawa saya kepada watak-watak wanita ikonik dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Sukar untuk memadam watak-watak seperti Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah dari benak. Malangnya wanita yang saya sebutkan ini dihinjak dalam politik.

Ambil sahaja Tun Kudu yang menjadi sekadar 'alat' untuk kepentingan penguasa. Tun Kudu adalah puteri kepada Bendahara Seri Wak Raja dan merupakan permaisuri kepada Sultan Muzaffar Syah yang memerintah Melaka (1446-1459). Namun demikian untuk meredakan perseteruan dua kem politik orang Melayu yang berebutkan kedudukan sebagai bendahara, Sultan Muzzafar Syah telah menceraikan Tun Kudu dan mengaturkan baginda untuk menjadi isteri Bendahara Seri Nara Diraja yang sudah tua kerepot, lagi berusia.