KUCHING: SMD Semiconductor Sdn. Bhd. memperkenalkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan, bagi menyokong pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) generasi baharu, tenaga boleh baharu dan sistem kuasa pintar.

Modul kuasa keteq.GaN itu dilancarkan sempena pembukaan International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2026, sekali gus mencerminkan langkah Sarawak beralih kepada pembangunan teknologi bernilai tinggi dan pemilikan harta intelek tempatan.

Pelancaran modul berkenaan disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membawa mesej “Designed in Sarawak. Built for the World.” keteq.GaN dibangunkan untuk aplikasi elektronik kuasa generasi baharu meliputi infrastruktur AI, tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar serta pengubah keadaan pepejal generasi akan datang.