Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata penggunaan label agama melampau dalam pertikaian politik berisiko menggugat keharmonian masyarakat.PETALING JAYA: Rakyat Melaka wajar menilai PAS berdasarkan kenyataan dan tindakannya, selepas Presidennya Hadi Awang menyamakan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan pendekatan 'dajal', kata Pakatan Harapan (PH) negeri.

Pengerusinya, Adly Zahari, berkata penggunaan label agama melampau dalam pertikaian politik berisiko menggugat keharmonian masyarakat.

"Jangan sampai rakyat bermusuh sesama jiran dan keluarga, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan sudah bersalaman mencari gabungan baharu," katanya dalam kenyataan.

Naib presiden Amanah itu mengulas kenyataan Hadi pada Selasa lalu yang menyifatkan CSA antara kerajaan dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai pendekatan dajal pada akhir zaman.