Menurut panel 3 hakim Mahkamah Rayuan, keterangan V Rajkumar berhubung pelantikannya gagal disangkal oleh saksi material pihak syarikat.PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf seorang bekas pengarah pengeluaran sebagai pekerja syarikatnya, selain memutuskan bahawa dia telah dipecat secara tidak adil.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azhahari Kamal Ramli sebulat suara mengekalkan award Mahkamah Tinggi berupa bayaran tunggakan gaji berjumlah RM492,000, bersamaan 24 bulan gaji dan elaun V Rajkumar.
Bagaimanapun, jumlah akhir yang perlu dibayar adalah sebanyak RM472,000 selepas penolakan RM20,000.
Panel hakim itu, yang turut dianggotai Hakim Ahmad Kamal Shahid dan Latifah Tahar, membenarkan sebahagian rayuan syarikat Suntech Engineering Korea Co Ltd bagi mengetepikan pampasan punitif tambahan sebanyak RM50,000 yang diberikan sebelum ini.







