YALA (THAILAND): Seorang anggota kumpulan pemisah Selatan Thai yang dikehendaki kerana terlibat dalam beberapa kes keselamatan, terbunuh dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand di Daerah Thanto, Wilayah Yala, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, suspek dikenali sebagai Saudi Tingueng berusia 48 tahun adalah anggota pemisah peringkat operasi dan mempunyai tiga waran tangkap tertunggak, mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, suspek juga dikehendaki kerana disyaki terlibat bersama beberapa anggota kumpulan pemisah lain dalam kejadian memenggal kepala seorang penduduk Wilayah Chiang Mai pada 2015 lalu.

Menurutnya, dalam operasi kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, pasukan keselamatan daripada tiga agensi turut merampas selaras raifal M-16 dan sepucuk pistol beserta peluru.