PETALING JAYA: Datuk Abdul Halim Kader terus menerajui Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas disahkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan presiden badan induk itu bagi penggal baharu.

Keputusan itu disahkan Sekretariat ASTAF selepas hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan presiden apabila tempoh penamaan calon berakhir pada pukul 5 petang waktu Malaysia, hari ini.

Turut mengesahkan kemenangan tanpa bertanding ialah Datuk Mohamad Sumali Reduan dari Malaysia dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr. Srihassak Arrirachakaran yang masing-masing mengisi dua jawatan Timbalan Presiden.

Bagaimanapun, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif masih terbuka apabila jumlah pencalonan yang diterima melebihi kerusi ditawarkan menjelang Mesyuarat Agung Pemilihan ASTAF di Bangkok pada 9 Disember depan.