RAMALLAH/ISTANBUL: Kira-kira 2.1 juta penduduk di Semenanjung Gaza memerlukan perlindungan serta bantuan kemanusiaan sepanjang musim sejuk di tengah-tengah pemindahan berterusan, keadaan hidup yang semakin meruncing dan sekatan Israel terhadap bekalan bantuan, kata seorang menteri Palestin hari ini, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Pembangunan Sosial, Samah Hamad, berkata demikian pada sidang media di Pusat Komunikasi Kerajaan di Ramallah, di tengah Tebing Barat yang diduduki.

Hamad memaklumkan bahawa kira-kira 30 peratus daripada bekalan bantuan dan tempat perlindungan masih terkandas di pintu sempadan susulan tindakan rejim Israel, sekali gus menghalang penghantarannya ke Gaza.

Beliau menegaskan usaha menangani krisis kemanusiaan berkenaan bukan sekadar memerlukan dana, sebaliknya turut menuntut jaminan kemasukan bekalan bantuan, bahan binaan tempat perlindungan, barangan keperluan musim sejuk dan peralatan membaik pulih.