KANGAR: Arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Perlis agar mempertingkat kawalan keselamatan serta risikan di sepanjang sempadan, khususnya di pintu masuk utama negara susulan kejadian letupan bom di Wilayah Satun, Thailand.
Ketua Polis Perlis DCP Hamzah Hashim berkata pihaknya memandang serius dan sentiasa berwaspada terhadap insiden keganasan di wilayah selatan Thailand itu, yang bersempadan dengan negeri ini.
“Kerjasama dan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa Thailand turut diperkukuh bagi mengesan serta menangani sebarang potensi ancaman lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini Bernama melaporkan tiga pelajar sekolah cedera termasuk seorang parah dalam letupan bom di Wilayah Satun, manakala beberapa siri serangan bom turut dilaporkan di Yala dan Songkhla pada malam tadi hingga pagi hari ini.






