"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa." Peribahasa Melayu ini semakin relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hanya kerana berbeza pandangan, manusia sanggup menghina, mencaci, memperlekehkan dan menjatuhkan maruah orang lain. Lebih membimbangkan, perbuatan tersebut dianggap biasa, malah seolah-olah 'dihalalkan' apabila mendapat sokongan ramai di media sosial. Persoalannya, sejak bilakah perbezaan pendirian menjadi lesen untuk mencerca sesama manusia? Apakah nilai sebuah kemenangan berhujah sekiranya akhirnya kita kehilangan akhlak dan merosakkan persaudaraan?
Realiti masyarakat Malaysia hari ini memperlihatkan perdebatan politik, isu agama, perbezaan pemikiran dan pertikaian sosial mudah bertukar menjadi serangan peribadi. Pada 19 Oktober lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya menjadi alasan untuk melakukan buli siber, penghinaan atau ugutan. Peringatan ini wajar direnungkan kerana kebebasan bersuara bukanlah kebebasan menjatuhkan maruah manusia. Lidah yang tidak dikawal termasuk melalui tulisan di alam maya, boleh mencetuskan permusuhan yang berpanjangan.








