Kuala Lumpur: Ajaran Gerakan New Age (NAM) dipercayai menggunakan amalan kerohanian moden yang dipromosikan sebagai penyembuhan, meditasi dan pembangunan diri menjadi daya tarikan kepada masyarakat umum.

Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, ajaran NAM didapati menggabungkan pelbagai falsafah, kepercayaan mistik, amalan spiritual serta pendekatan kesihatan alternatif.

"Gerakan berkenaan tidak mempunyai pengasas tunggal, kitab suci seragam atau organisasi pusat yang mengawal ajarannya.

"Sebahagian aliran New Age mengemukakan fahaman bahawa Tuhan, manusia dan alam semesta ialah satu hakikat, selain mendakwa manusia mempunyai unsur ketuhanan dalam dirinya.