Rom: Autobiografi Valentino Rossi dijangka mendedahkan perspektif baharu mengenai beberapa detik paling diingati dalam sejarah MotoGP.

Bagaimanapun, petikan daripada buku La Mia Storia yang dilaporkan media menunjukkan legenda Itali itu masih berpegang kepada pendiriannya berhubung dakwaan dia menendang Marc Marquez ketika pertembungan kontroversi mereka di Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2015.

Selepas menuduh Marquez cuba membantu rakan sepasukan Yamaha, Jorge Lorenzo, memburu gelaran dunia sehari sebelum perlumbaan itu, Rossi terbabit dalam pertarungan sengit pada awal perlumbaan dengan pelumba Honda berkenaan.

Pertembungan itu berakhir apabila Rossi sengaja menghimpit Marquez keluar dari laluan perlumbaan kerana berang dengan tindakan pelumba Sepanyol itu. Kedua-duanya kemudian bersentuhan sebelum Marquez terjatuh, ketika kaki Rossi dilihat bergerak sedikit.