JERANTUT: Kira-kira 200 orang pemandu pelancong dan bot penambang Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan pesisir Sungai Tembeling di Ulu Tembeling daerah ini berharap banjir besar tidak berlaku ketika Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Menurut mereka, sektor pelancongan akan tergendala jika banjir besar melanda seperti yang pernah berlaku ketika kejadian ‘bah merah’ pada 2014 lalu.

Kata mereka lagi, pendapatan masing-masing akan terjejas berikutan kekurangan pengunjung termasuk sebahagian aktiviti rekreasi melibatkan air terhenti berasaskan peraturan keselamatan yang dikeluarkan.

Pengusaha Pelancongan MFA Amaze Travel Kuala Tahan, Sabri Abdullah, 58, berkata, sehingga ini purata kira-kira 600 orang pelancong luar tidak termasuk tempatan menerusi pakej yang diatur oleh pengusaha Lembah Ke­lang dan Jerantut datang setiap hari ke kawasan tersebut.