Kuala Lumpur: Budaya Korea Selatan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia, bukan sahaja menerusi drama dan muzik, malah melalui keunikan warisan tradisi yang membentuk identiti masyarakatnya.
Justeru, menerusi segmen khas Wanita Hari Ini (WHI) hari ini, penonton bakal dibawa meneroka persamaan budaya serta perkongsian pengalaman antara Malaysia dan Korea Selatan.
Diterajui penerbit eksekutif merangkap pengacara WHI, Fiza Sabjahan, segmen khas ini merangkumi pelbagai aspek budaya Korea Selatan, daripada kisah rakyat Malaysia yang mempunyai pengalaman tersendiri di negara ginseng itu hinggalah keunikan warisan tradisinya.
Antara yang diketengahkan ialah kisah rakyat Malaysia, Nabila Ami Mohd Yusof yang mendalami bahasa dan kehidupan di Korea Selatan, selain minat Yana Azmi Tan terhadap makanan mereka hingga membina sebuah perniagaan.










