KUALA LUMPUR: Mahu pulang cepat ke rumah - itu alasan diberikan seorang remaja bawah umur selepas ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terbabit perlumbaan haram dan aktiviti menduga kelajuan di jalan raya, awal pagi ini.

Remaja berusia 17 tahun itu ialah antara tujuh individu ditahan dalam Operasi Khas Ekstrem Lumba Haram yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Ampang, di sini.

Difahamkan, remaja menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dipercayai menguji kelajuan bersama rakannya sebelum ditahan.

Bagaimanapun, dia mendakwa hanya menunggang laju untuk pulang ke rumah, sekali gus menafikan terbabit dalam sebarang perlumbaan.