Kuala Lumpur: Beri alasan mahu cepat pulang ke rumah. Itu helah seorang remaja bawah umur selepas ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam aktiviti lumba haram serta perbuatan menduga kelajuan di jalan raya.

Remaja berusia 17 tahun itu adalah antara tujuh individu yang ditahan dalam Operasi Khas Ekstrem Lumba Haram yang digerakkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Difahamkan, remaja yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dikesan menguji kelajuan bersama rakannya sebelum ditahan pasukan penguat kuasa.

Bagaimanapun, remaja terbabit mendakwa dia hanya menunggang laju untuk pulang ke rumah dan menafikan terbabit dalam sebarang perlumbaan.