Kuala Lumpur: Keputusan mempertandingkan 43 sukan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia bukan dibuat secara unilateral, sebaliknya hasil persetujuan kolektif semua 11 negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, proses pemilihan sukan dilaksanakan secara sistematik sejak April lalu dengan setiap negara diberi ruang mengemukakan rayuan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Katanya, Malaysia pada awalnya mengemukakan senarai 38 sukan pada April sebelum memberi tempoh sebulan kepada semua persatuan sukan dan negara anggota untuk merayu kemasukan sukan tambahan.

Sebanyak 29 rayuan diterima sebelum dibincangkan secara terperinci menerusi Jawatankuasa Sukan dan Peraturan yang dihadiri wakil kesemua 11 negara.