Serdang: Sebanyak 16 regu mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Kejohanan anjuran bersama McDonald's dan Harian Metro itu menyaksikan 24 regu dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan masing-masing berusaha memburu dua slot teratas bagi meneruskan cabaran ke pusingan kalah mati.

Titibolt Takraw muncul juara Kumpulan A selepas mencatat dua kemenangan termasuk menewaskan Volt Trace dan KV Johor B, manakala KV Johor B turut melangkah selaku naib juara.

Warisan A pula menguasai Kumpulan B dengan dua kemenangan selepas menewaskan KST Naga Rimba dan Mahkota, sementara KST Naga Rimba mengiringi mereka ke pusingan seterusnya.