Serdang: Hadir bukan sekadar mahu melengkapkan saingan, sebaliknya pasukan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) membawa impian besar untuk melangkah ke pentas final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Meskipun tidak memiliki nama gah seperti akademi atau sekolah sukan lain, pasukan dari Pasir Gudang, Johor itu tetap hadir dengan semangat tinggi bagi membuktikan kemampuan barisan pemain yang dibentuk menerusi usaha pembangunan akar umbi.

Dibimbing jurulatih, Mohd Taufik Zainal, pasukan berkenaan ditubuhkan lebih lima tahun lalu dengan misi melahirkan pelapis sepak takraw yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.