PETALING JAYA: Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,570 hingga 1,610 mata minggu ini dengan sentimen pasaran bergantung kepada perkembangan ekonomi domestik dan hala tuju pasaran global.

Remisier Maybank Investment Bank Berhad, Jeffry Azizi Jaafar berkata, tumpuan pelabur minggu depan dijangka terarah kepada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 pada 18 November, selain data inflasi dan perdagangan negara.

Katanya, pelabur turut menantikan penerbitan minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bagi Oktober yang dijadualkan pada 18 November waktu tempatan AS bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai hala tuju dasar monetari negara itu.