Mahkamah Sesyen KL tetap sebutan kes pada 17 Dis untuk serahan dokumen.KUALA LUMPUR: Dua bekas eksekutif kanan syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga tuduhan pindaan melakukan pecah amanah dan bersubahat wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000, membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Putrajaya.

Bekas pengurus keselamatan dan kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad, 56, dan bekas timbalan pengurus besar TH Properties Sdn Bhd yang juga bekas timbalan pengurus besar THP Bina Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

THP Bina Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd (anak syarikat Lembaga Tabung Haji), yang menumpukan kepada bidang pembinaan dan pengurusan projek.