Menurut LKAN 2/2026, LCS 1 mungkin diserahkan tanpa kelengkapan senjata sebaik siap pada Disember ini, dijangka hanya mampu beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2035.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Khaled Nordin menyangkal unjuran ketua audit negara bahawa kapal tempur pesisir pertama (LCS 1) hanya dijangka mula beroperasi pada Disember 2035.

Khaled berkata, tempoh masa dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang dikeluarkan pada Isnin itu berasaskan kontrak peluru berpandu dengan syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace, yang dibatalkan secara sepihak oleh negara itu.

Syarikat terbabit sebelum ini diberikan lanjutan masa atas 'sebab-sebab tertentu' memandangkan komponen peluru berpandu tersebut memerlukan kelulusan Washington, selain kekangan wabak Covid-19 yang turut menjejaskan jadual pelaksanaan, katanya.